JAKARTA, 22 Feb: Dendangan muzik rancak seperti dangdut
serta irama muzik perlahan yang diperdengarkan kepada ayam pedaging oleh
ratusan penternak di desa Sumbersuko, Tlogowaru, Bandar Malang, Jawa Timur
dilaporkan berhasil meningkatkan mutu ternakan mereka sejak tiga tahun
kebelakangan ini.
Sejak menggunakan teknik terapi muzik itu yang dimainkan 24
jam, para penternak di kawasan itu mendakwa mereka berupaya menuai hasil
ternakan yang lebih sempurna, berbanding sebelum itu di mana jumlah ayam yang
mati setiap kali musim tuaian agak tinggi.
Lagu-lagu rancak atau dangdut yang diperdengarkan kepada
ayam-ayam itu bukanlah membuat mereka berjoget ataupun sebaliknya menjadikan
mereka terlelap bila mendengar lagu berirama perlahan yang mendayu-dayu, tetapi
muzik itu bertujuan menjadikan ayam ternakan mereka tidak mudah terkejut
sehingga boleh menyebabkan kematian, agensi berita ANTARA melaporkan, Rabu.
“Sejak menggunakan terapi muzik, kami berjaya menuai hasil
ayam secara sempurna, dan dilakukan empat kali dalam setahun.
Padahal, sebelum menggunakan terapi muzik, sekitar 30
peratus daripada 1,000 ayam kami mati setiap kali menuai hasil,” kata Ahmad
Fauzi, salah seorang penternak di kawasan itu.
Fauzi, 29, berkata
terapi muzik untuk ayam sudah popular di kalangan penternak kawasan Tlogowaru sehingga ia tidak dianggap aneh
bagi masyarakat tempatan, walaupun belum ada bukti perubatan tentang kesan
terhadap kesihatan ayam yang mendengar muzik itu.
No comments:
Post a Comment