Friday, 10 February 2012

Tujuh kampung sepakat


KOTA MARUDU: Selasa ini (14 Feb), penduduk di lima kampung dalam daerah Kota Marudu dan dua kampung di Beluran sepakat akan turun serentak menjalankan kerja-kerja merintis dan menanda sempadan bagi mengasingkan tanah Hak Adat Pribumi (NCR) dengan kawasan yang diluluskan kepada syarikat Begaraya Sdn. Bhd.
Aktivis masyarakat, Jaipin Mohigal, 62,  (gambar) berkata  tindakan itu dilakukan dengan dua sebab iaitu pertama, mahu merealisasikan kenyataan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Dr Maximus Ongkili berhubung pengasingan tanah NCR dari kawasan projek Begaraya.
Kedua, sebagai sokongan kepada kenyataan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi merangkap Presiden Pertubuhan Pasokmomogun Kadazandusun Murut Bersatu (Upko), Tan Sri Bernard Dompok yang menggesa penduduk kampung supaya mengusahakan tanah-tanah NCR yang terbiar tanpa menunggu geran tanah dikeluarkan.
Jaipin mengakui, bahawa beliau sendirilah yang  akan mengetuai kerja-kerja merintis dan menanda sempadan itu bagi memudahkan pihak kerajaan melaksanakan pengasingan tanah-tanah NCR terbabit dengan projek syarikat FMU, Begaraya di Kota Marudu dan Beluran.
Lima kampung yang terlibat di daerah Kota Marudu ialah Kg. Nat; Kg. Melangkap Darat; Kg.Poliu Sumbu; Kg. Wokok dan Kg. Melangkap Tengah. Manakala di Beluran, Kg. Koiboton Darat Pinangkau dan Kg. Pisang Koidangan.
Dalam kenyataan Dr Maximus selepas mesyuarat yang dipengerusikan oleh Pengarah Jabatan Tanah dan Ukur, Datuk Osman Jamal di Kota Marudu, 12 Januari lalu, antara lain beliau berkata langkah untuk mengasingkan tanah NCR dari kawasan yang diluluskan kepada Begaraya akan bermula selepas Tahun Baru Cina dan bermula dari Kg Bombong 1 dan Kg. Samparita untuk mengeluarkan geran komunal.
Mesyuarat itu turut dihadiri oleh Adun Tandek, Anita Baranting, Adun Matunggung, Sarapin Magana dan para pegawai Begaraya.
Jaipin berkata, sambutan Tahun Baru Cina sudah lama berlalu tetapi, belum ada tanda-tanda untuk memulakan kerja-kerja ukur tanah di Kota Marudu. Dan, ini membuatkan penduduk kampung terlibat bimbang isu itu hanya gimik politik Dr Maximus.
Katanya, berikutan tidak ada khabar berita mengenai kerja-kerja ukur tanah dimulakan, beliau dan penduduk kampung yang terlibat telah mengambil keputusan dalam satu pertemuan minggu lalu  untuk melakukan sendiri kerja-kerja merintis dan menanda sempadan.
“Ini kerana penduduk kampung lebih tahu dan arif serta telah mengenal pasti sempadan kawasan tanah NCR dengan syarikat FMU, Begaraya,” tambahnya.
Beliau juga bertegas tidak akan berkompromi sebarang perubahan melainkan kerajaan setuju  dan menerima rintisan dan penandaan sempadan yang mereka lakukan.  
Menyentuh dengan kenyataan Dompok pula, Jaipin kagum dengan kesungguhan Anggota Parlimen Penampang itu yang bersungguh-sungguh mahu membantu rakyat Sabah yang terpinggir dan hidup tanpa memiliki geran tanah.
Dompok  membuat kenyataan itu selepas merasmikan Program Pengembangan Ekonomi Belia Pasokmomogun Berasaskan Penanaman Getah dan Kelapa Sawit di Kampung Taginambur Jaya di Kota Belud, pada 27 Jan lalu, meminta penduduk kampung yang tidak bertanah tetapi bersungguh-sungguh memajukan tanah NCR akan diberi pertimbangan untuk memiliki tanah itu.
Katanya, penduduk harus terlebih duhulu menunjukkan komitmen dengan mengusahakan tanah-tanah NCR dengan tanaman komersial bagi membolehkan kerajaan menilai minat dan kesungguhan mereka sebelum geran tanah diberikan.
Dompok juga berkata, bahawa isu itu sudahpun beliau bincangkan dengan Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Haji Aman dan perkara itu diteliti untuk kebaikan rakyat.
Pada 1 Feb lalu, ketika mengulas cadangan Ketua Hakim Sabah dan Sarawak, Tan Sri Richard Malanjun bagi menubuh sebuah Tribunal untuk mengurus soal berkaitan tanah anak negeri, Musa berkata, Kerajaan Negeri mengalu-alukan sebarang inisiatif yang boleh membantu usaha meningkatkan kebajikan rakyat dan memperkukuhkan program tanahnya. 

2 comments:

  1. Di Kawasan Pitas juga 4 buah kampung yang terlibat dengan Begaraya bergabung menuntut keadilan, wakil dari begaraya di kampung Gudang Limau, Salimpodon Darat, Mantus dan Linggisan berkata mahu mengukur primeter kawasan begaraya. Ketua-ketua kampung tidak bersetuju dengan situasi ini mereka mahu tanah-tanah milik penduduk dikeluarkan dahulu. Kita sebagai penduduk kampung mesti bekerjasama jika mahu hak kita tidak diambil oleh syarikat yang bernaung di bawah orang politik yang tidak mendahulukan rakyat dan mendahulukan untung semata-mata.

    ReplyDelete
  2. Tribunal tanah belum kelihatan fungsinya. saya percaya jika isu ini tisak ditangani pasti ia memberi kesan yang besar kepada BN. Para pemimpin tertinggi sabah dan Malaysia khususnya ini bukan isu remeh. Ini isu masa depan anak cucu.saya ahli UMNO tapi kalau hak orang sabah diketepikan saya pasti sokong mana parti yang membela nasib rakyat. Rakyat patut didahulukan, bukannya poket pemimpin yan didahulukan........tunggu dan lihat

    ReplyDelete