PENAMPANG, 11 Feb (Bernama): Kerajaan Persekutuan telah membuat keputusan tentang
cadangan penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai pendatang asing
tanpa izin di Sabah, kata Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Tan Sri
Bernard Dompok.
Dompok berkata kabinet telah menyerahkan mandat kepada
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, yang telah mengilhamkan gagasan
1Malaysia, untuk mengumumkan perkara itu.
“Ini adalah sesuatu yang amat ditunggu-tunggu oleh rakyat
Sabah selama ini. Saya telah
membangkitkan isu RCI pada mesyuarat kabinet sekurang-kurangnya tiga kali
sebelum ini, tetapi ia tergantung tanpa sebarang keputusan.
“Saya membangkitkan
lagi isu ini pada mesyuarat kabinet terakhir (8 Feb) dan kabinet kemudiannya
telah membuat keputusan...Perdana Menteri akan menangani seterusnya,” katanya
kepada pemberita selepas melancarkan kalendar dalam bahasa Kadazandusun di SK
Putaton, dekat sini hari ini.
Dompok, yang juga Presiden Pertubuhan Pasokmomogun
Kadazandusun Murut Bersatu (UPKO) diminta mengulas laporan akhbar tempatan hari
ini bahawa Najib dijangka akan membuat pengumuman yang amat ditunggu-tunggu
berhubung perkara itu semasa lawatan dua hari ke sini mulai 16 Feb ini.
Semalam, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Seri Dr
Maximus Ongkili dipetik berkata tidak mustahil Perdana Menteri akan mengumumkan
perkara itu di Sabah minggu depan.
Ditanya kemungkinan RCI ditubuhkan sebelum pilihan raya
umum, Dompok berkata: “Sudah pasti sebarang Suruhanjaya Siasatan Diraja perlu
dibuat sebelum pilihan raya umum diadakan.
“Jika tidak orang ramai akan beranggapan kita melakukannya
semata-mata untuk pilihan raya,” katanya. - Bernama
No comments:
Post a Comment